********************************************************************************
"Ustaz, boleh tak kalau di syurga nanti, saya tak nak suami saya ada bidadari?" Soalan ini pernah dikemukakan oleh seorang wanita (entah datin mana tah), sewaktu sesi soal jawab dalam satu kuliah (kalau aku tak silap, oleh Ustaz Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz), pada sekitar awal 90-an. Jawapannya nanti dulu. Aku nak bincang hal yang lebih penting. Haha... Datin tersebut wajar diberi ucapan syabas kerana berani menyuarakan apa yang terbuku di kalbu ramai wanita.
Tapi pasti kebanyakannya tak tergamak nak luahkan perasaan tu.
Mmm..nampaknya sampai begitu sekali kaum wanita ni meluat dengan bidadari syurga. Aku guna perkataan 'meluat' sebab aku rasa inilah istilah yang paling sopan. Mungkin ada yang sampai rasa benci bila mendengar perkataan 'bidadari', aku tak nafikan. Apa puncanya sampai jadi macam tu? Penjelasan yang paling mudah, sebab cemburu. Penjelasan yang lebih mendalam; sebab wanita sebegitu menyangka bahawa suaminya adalah MILIK mutlak si isteri. Sebagaimana miliknya terhadap kereta Mercedesnya dan rumah banglonya. Tak mahu KONGSI dengan orang lain.
Aku pernah menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan satu jemaah tabligh..ustaz yang sedang memberi amanat kepada bakal-bakal da`ie itu ada menyebut, "Jangan sekali-kali ceritakan mengenai bidadari apabila anda sedang membicarakan tentang nikmat syurga di khalayak yang ada wanita menghadirinya. Dikhuatiri jika anda tidak bersedia dengan ilmu yang cukup, majlis ilmu itu akan hanya menimbulkan rasa benci di kalangan wanita yang masih lemah imannya.." Fuhh~! Sampai begitu sekali rupanya. Dahsyat.. Aku tak sangka sampai begitu sekali, hingga 'pantang' disebut tentang bidadari di depan wanita.
Tapi..Dalam Al-Qur'an kan bidadari disebut tanpa berselindung? Ohoho...mungkin tak apa la sebab kebanyakan wanita di luar sana tak faham pun bila mendengar atau membaca Qur'an. Habis, nak biarkan macam tu je? Biarkan je wanita 'bermusuh' dengan bidadari? Tak ada cara nak 'mendamaikan' dua golongan ni ke? Biar aku beritahu apakah jawapan ustaz yang awal tadi. "Di syurga nanti, selagi puan tak berenggang dengan suami puan, suami puan seakan-akan tak nampak pun bidadari. Tak perlu lah puan risau sangat. Yang penting sekarang, usahakan agar puan bersama suami dapat menjadi ahli syurga. Kalau isteri terpaksa masuk neraka buat sementara, dan suami yang masuk syurga dulu, saya tak jamin la bidadari tak ganggu dia.." Padat dan bersahaja jawapan yang diberikan ustaz, disambut gelak ketawa hadirin.