Wednesday, September 8, 2021

Terkini : Dua lelaki bergaduh di PPV (pusat pemberian vaksin) dipercayai mabuk.

 Baling: Polis menahan dua lelaki terbabit dalam pergaduhan dan ugutan jenayah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, di sini, hari ini.



Ketua Polis Kedah Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, dalam kejadian pada 11.45 pagi itu, seorang lelaki dipercayai mabuk dan membuat kacau dengan memandu kereta secara melulu serta membuat aksi 'drift' di kawasan letak kereta di PPV berkenaan.


Beliau berkata, suspek kemudian turut mengganggu dan membahayakan orang ramai yang menunggu untuk menerima vaksin.

"Tindakan itu menyebabkan berlakunya pergelutan antara dua suspek dan orang awam yang hadir untuk menerima suntikan vaksin.

"Seorang daripada suspek turut bertindak mengeluarkan kayu golf dan membuat ugutan jenayah terhadap seorang lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Kamarulzaman berkata, bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menangkap seorang remaja berusia 19 tahun di tempat letak kereta di PPV berkenaan pada 12.30 tengah hari.

"Selepas soal siasat ke atas suspek dibuat, polis turut menjumpai dan merampas batang besi pemukul golf pada 2.30 petang.

"Polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 27 tahun di sebuah rumah di Ladang Kupang bagi membantu siasatan," katanya.

Kamarulzaman berkata, selain itu polis turut merampas kereta Proton Saga dipercayai dipandu suspek dalam kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya 1958.

"Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua suspek pagi esok," katanya.

Sumber Instagram @viral_kini_official2

No comments:

Post a Comment